Khamis, 7 Disember 2017 | 4:26pm
PRESIDEN Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri).. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

MAPIM cadang perangi isu Israel

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) meminta semua masjid di seluruh negara mengadakan demonstrasi membabitkan isu pengambilalihan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pengurusan masjid juga diminta membacakan khutbah khas berkaitan pengisytiharan berkenaan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin.

Katanya, maruah umat sedang dicabar oleh AS dan Israel ekoran pengisytiharan itu, selain ada negara Arab yang mengkhianati umat Islam apabila bersekongkol dengan kedua-dua negara itu.

"Seluruh umat Islam dan pencinta kebenaran perlu bangkit segera menyatakan bantahan keras terhadap pencabulan Zionis ke atas Baitulmaqdis.

"Kesedaran mengenai kepentingan mempertahan Al Quds (Baitulmaqdis) perlu dicetuskan di seluruh negara dan di semua peringkat.

"Pengumuman Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bermakna seluruh kota suci dan Masjid Al-Aqsa sudah dikuasai mutlak oleh rejim Zionis," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Mohd Azmi berkata, pengambilalihan itu jenayah besar terhadap umat Islam yang tidak boleh dikompromi.

Justeru, setiap imam di semua masjid perlu memimpin kebangkitan esok sebagai hari kemarahan umat Islam di seluruh negara, demi Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Beliau berkata, semua pihak juga jangan menjadikan kekhilafan politik dan perpecahan sektarian menghalang umat Islam untuk bersatu menentang Zionis dan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis.

BH Online semalam melaporkan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dalam keputusan bersejarah yang mengubah dasar negara itu sejak berdekad dan mencetuskan risiko keganasan baharu di Asia Barat.

"Israel negara berdaulat yang mempunyai hak sama dengan negara lain untuk menentukan ibu negaranya sendiri. Pengiktirafan ini perlu dilakukan untuk mencapai kedamaian.

"Sudah tiba masanya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel secara rasmi," kata pemimpin AS itu di Rumah Putih sambil menggesa sikap tolak ansur mengatasi kebencian.

836 dibaca
Berita Harian X