Khamis, 7 Disember 2017 | 7:55pm
KETUA Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi Cyberview Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengunakan aplikasi e- dompet TaPay membeli makanan ditapak jualan, Prima 5 Cyberjaya. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Fullrich Malaysia Hudhaifa Ahmad (kiri) - Foto Rohanis Shukri

Cyberjaya bakal jadi bandar tanpa tunai

CYBERJAYA: Cyberjaya bakal menjadi menjadi bandar pertama tanpa tunai di negara ini, berikutan pelaksanaan transaksi pembayaran secara e-dompet menggunakan aplikasi TaPay, bermula di beberapa lokasi terpilih hari ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata program itu akan dilaksanakan melalui projek perintis di beberapa restoran dan peruncit terpilih di kawasan setempat.

"Kita akan laksanakan projek ini untuk tempoh sebulan terlebih dahulu, namun sekiranya projek ini berjaya, ia akan diperluaskan ke Lembah Klang dan seterusnya seluruh negara serta negara ASEAN.

"Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 63 peratus kebergantungan transaksi pembayaran tunai menjelang 2020," katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi e-dompet TaPay di Cyberjaya, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) Mohd Najib Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Holdings Berhad, Kamarul Ariffin Mohd Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Fullrich Malaysia Sdn Bhd (Fullrich), Hudhaifa Ahmad.

Irwan yang juga Pengerusi Cyberview, berkata aplikasi e-wallet pertama yang dibangunkan syarikat tempatan itu dilihat mampu bersaing dengan khidmat dompet mudah alih lain seperti Alipay.

"Oleh itu, saya berharap lebih ramai pihak terutama bank dan peruncit tampil untuk bekerjasama dalam memperkasakan ekosistem tanpa tunai di negara ini," katanya.

Sementara itu, Hudhaifa berkata, aplikasi yang dibina Fullrich dengan kerjasama Cyberview dan Kumpulan Affin Bank itu sedang diperkukuhkan melalui pengumpulan maklumat membabitkan pihak perniagaan, institusi pendidikan, penduduk dan pelajar di sekitar Cyberjaya.

"Kami akan terus mengemaskini aplikasi ini berdasarkan cadangan dan maklum balas yang diterima untuk memastikan

ia sentiasa menepati permintaan di kalangan pelanggan dan peniaga," katanya.

Terdahulu, Irwan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Fullrich dan Cyberview serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fullrich dengan empat rakan kolaborasi iaitu Kumpulan Affin Bank, Picksum, AladdinStreet and myrelo.

811 dibaca
Berita Harian X