Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:50am
- Gambar hiasan

Hujan lebat di Pantai Timur, Johor dan Sarawak

KUALA LUMPUR: Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak sehingga Ahad, ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam laman webnya mengeluarkan amaran waspada di lokasi seperti di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, Kelantan, manakala di Pahang membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin.

Turut diberi amaran di Mersing dan Kota Tinggi, Johor. Di Sarawak pula membabitkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan dan Mukah.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman) dan Labuan sehingga Isnin, ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga Isnin, ini.

Met Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir di perairan Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

2933 dibaca
Berita Harian X