Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:59pm

NUTP bantah mansuh hukuman buang sekolah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) membantah cadangan memansuhkan hukuman buang sekolah seperti yang dicadangkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata sekolah adalah institusi untuk mendidik dan memerlukan peraturan berkesan dalam menyelamatkan pelajar daripada anasir negatif.

"Kes pelajar yang mempunyai masalah disiplin berat atau dibuang sekolah harus dilihat sebagai kes kebajikan.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu menangani masalah itu kerana mempunyai kuasa dan akta untuk menguruskan pelajar bermasalah," katanya dalam satu kenyataan.

Huat Hock berkata, KPWKM mempunyai pusat pemulihan akhlak seperti Asrama Akhlak, Sekolah Tunas Bakti dan Taman Seri Puteri untuk menguruskan pelajar bermasalah.

Beliau berkata, guru di bawah Kementerian Pendidikan tidak mempunyai kemampuan untuk mengawal dan memulihkan akhlak pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius seperti penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Justeru, NUTP menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa tindakan buang sekolah masih relevan diguna pakai terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

NUTP juga berharap cadangan untuk mewujudkan Pasukan Petugas menangani masalah sosial masyarakat seperti yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diberi perhatian.

"Isu agenda sosial kian menular dan jika tidak ditangani, kami risau aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) tida akan tercapai.

"NUTP menyokong pelaksanaannya kerana ada sebahagian masyarakat masih lagi ketinggalan dan keciciran daripada pelbagai segi," katanya.

1119 dibaca
Berita Harian X