Khamis, 21 Disember 2017 | 4:51pm

Himpunan lambang solidariti rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis esok adalah lambang solidariti rakyat Malaysia secara aman bagi memberi sokongan terhadap rakyat Palestin.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, berkata ia juga untuk menunjukkan protes terhadap cadangan Baitulmaqdis dijadikan sebagai ibu negara Israel.

Justeru, beliau mengajak orang ramai untuk hadir ke perhimpunan yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya, bermula jam 12 tengah hari hingga 3 Petang, esok bagi menyemarakkan lagi semangat dalam memberi sokongan terhadap isu Baitulmaqdis.

"Seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama dijemput untuk bersolidariti bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi demi untuk mengembalikan hak eksklusif rakyat Palestin ke atas Baitulmaqdis dan juga seluruh bumi Palestin.

"Semoga himpunan perdana ini berjaya menghasilkan impak yang besar kepada solidariti umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia terhadap isu Baitulmaqdis dan Palestin," katanya.

797 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »