Jumaat, 22 Disember 2017 | 3:26pm

Solidariti ummah bebaskan Baitulmaqdis: Mufti

PUTRAJAYA: Umat Islam diseru bersama-sama bersolidariti dalam perjuangan membebaskan Baitulmaqdis dan bumi Palestin daripada penjajahan dan penindasan regim Zionis.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ummah juga digesa berhimpun bagi menyuarakan sokongan dan menzahirkan semangat intifada kepada rakyat Palestin.

"Ketika Salehuddin al-Ayubi ingin menawan semula Baitulmaqdis, beliau bertindak menyatukan umat Islam terlebih dahulu. Sehubungan itu, pokok pangkalnya seluruh umat Islam diseru untuk bersama menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin dalam membebaskan Baitulmaqdis daripada belenggu penjajahan.

"Jika umat Islam yang mempunyai jumlah 200 bilion bersatu, nescaya kekuatan ini dapat menggentarkan musuh kita.

"Sekiranya kita banyak bertelingkah, nescaya umat Islam akan jadi lemah, jadi kepada Allah jua kita bermunajat dan memohon segala-galanya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam khutbah Jumaat sebelum Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, Malaysia menerusi kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah menyuarakan pendapat yang tuntas dan berani ketika sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki baru-baru ini.

"Suara yang sama kita lihat disuarakan oleh pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) sama ada Islam atau bukan Islam.

"Malah suara yang sama juga disampaikan oleh orang Islam yang cakna dan prihatin dalam isu Baitulmaqdis ini," katanya.

Beliau berkata, pengundian pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam yang mengisytihar keputusan Amerika Syarikat (AS) iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidak sah dan terbatal jelas menunjukkan manusia benci kepada kezaliman.

"Keputusan di PBB ini jelas menunjukkan bahawa manusia bencikan kezaliman, menentang kezaliman dan tidak bersama kezaliman terutamanya di kota Baitulmaqdis," katanya.

552 dibaca
MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan khutbah Jumaat sebelum Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »