Jumaat, 22 Disember 2017 | 4:36pm

Berbaju putih selamatkan Baitulmaqdis

PUTRAJAYA: Hampir 12,000 rakyat pelbagai kaum menyertai Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Dataran Putra, pekarangan Masjid Putra di sini, hari ini.

Perhimpunan berkenaan yang bermula selepas solat Jumaat turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail serta Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar Al Agha.

Terdahulu, program perhimpunan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel itu, dimulakan dengan forum khas membincangkan isu berkenaan pada jam 12 tengah hari.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai bacaan doa pada Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Dataran Putra, pekarangan Masjid Putra di Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, kemudian turut menyampaikan khutbah Jumaat khas yang menyentuh sejarah Palestin dan menyeru umat Islam bersatu menyokong usaha untuk membela nasib penduduk wilayah yang ditindas itu.

Selesai solat Jumaat, Zulkifli bangun mengimamkan solat hajat mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin dan supaya mereka memperoleh kebebasan.

Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis yang bermula kira-kira jam 2.10 petang dihangatkan dengan ucapan Najib yang menyeru umat Islam Malaysia supaya mengetepi fahaman politik, seterusnya bersatu menyatakan bantahan atas tindakan Israel dan Amerika Syarikat.

Najib bersama-sama pemimpin kerajaan serta parti politik lain kemudian menurunkan tandatangan di atas kain rentang bagi menggambarkan bantahan rakyat Malaysia berhubung isu berkenaan.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar H Al Agha hadir pada Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Dataran Putra, pekarangan Masjid Putra di Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

943 dibaca
ORANG ramai hadir menyertai Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Dataran Putra, pekarangan Masjid Putra di Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X