Jumaat, 22 Disember 2017 | 6:28pm
DATUK Saifuddin Nasution (kiri) ketika menjadi panel forum di Himpunan Solidariti Perdana: Intifada Selamatkan Baitulmuqaddis hari ini.Turut hadir Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid selaku moderator.- Foto BERNAMA

Bantu urus konflik negara Islam

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mencadangkan tiga syor kepada untuk membantu isu Palestin, iaitu pertama menubuhkan Pusat Diaspora Palestin.

Katanya, pusat itu bagi menghimpun data yang boleh digunakan untuk mengukur kemahiran rakyat Palestin sebagai rangka persiapan masa depan.

Beliau berkata, data itu akan mengumpul bijak pandai Palestin seperti dalam bidang perubatan dan perudangan.

"Kedua, Malaysia yang memiliki perkhidmatan awam terbaik boleh memulakan modul membangunkan modal insan rakyat Palestin.

"Ketiga, platform solidariti pendekatan terbaik umat Islam mencari titik pertemuan meskipun berbeza latar belakang," katanya dalam forum Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, selain demostrasi bantahan, Malaysia memiliki keupayaan untuk membantu Palestin berdasarkan rekod yang cemerlang dalam menguruskan konflik yang melanda negara Islam, antaranya membabitkan etnik Rohingya, Uighur, Bosnia dan Syria.

Pengacara forum ialah Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

439 dibaca
Berita Harian X