Rabu, 3 Januari 2018 | 10:57am
ZAHID Hamid, 53, menimbang ikan sungai yang ingin dibeli oleh pelanggannya di Panching, di sini. - Foto Shahrinnahar Latib.

Rezeki musim bah

KUANTAN: Banjir yang melanda sekitar daerah ini ternyata membawa rezeki kepada orang ramai dengan pelbagai jenis ikan air tawar daripada sungai yang melimpah.   

Ketika orang lain sibuk memindahkan barang-barang milik mereka, beberapa pemburu ikan pula mengambil peluang memasang jaring di kawasan rumah, sawah, paya, semak dan ladang sawit yang dinaiki air. 

Ini kerana spesies ikan sungai seperti ikan keli, lampan, haruan, barau, ubi, baung, puyu dan peras menjadi buruan kerana mereka mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM200 hingga RM300 sehari. 

Bagi Zahid Hamid, 53, setiap kali tibanya musim tengkujuh di sekitar kampungnya di Sungai Lembing, beliau akan keluar seawal pagi untuk menangkap ikan sungai dengan menaiki perahu.   

"Saya akan menjala dan hasil tangkapan boleh dijual sekali gus dapat memberi pendapatan tambahan kepada saya. 

"Sehari saya dapat pendapatan bersih kira-kira RM200 hingga RM300 kerana hasil tangkapan saya laku dijual. Biasa ikan yang saya jual sekitar RM18 hingga RM25 sekilogram," katanya ketika ditemui di Panching di sini, hari ini.

Bapa kepada empat anak itu juga berkata, beliau melakukan semua kerja menjala ikan ini pada awalnya sekadar suka-suka, namun tidak menyangka mendapat permintaan daripada penduduk setempat. 

Beliau berpuas hati apabila hasil tangkapan itu terus dibeli pelanggan sebaik sahaja dia meletakkan perahunya di tepi jalan di laluan ke Sungai Lembing.  

Sementara itu, pemandu lori, Junaidi Hassan, 40, berkata, beliau sudah membeli pukat sejak beberapa tahun lalu hanya untuk digunakan setiap kali berlaku banjir di kawasan berdekatan tempat tinggalnya.   

Setakat ini, katanya, hasil tangkapan yang diperoleh sangat berbaloi dan boleh dimasak untuk dibuat lauk makan tengah hari dan malam. 

"Kami dapat tangkap pelbagai ikan air tawar seperti lampam, puyu, sepat dan sebagainya yang bersaiz agak besar. Malah, ada penduduk yang lalu berhenti untuk membeli ikan daripada kami," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini ikan sungai ini sudah semakin pupus dan kalau dijual di pasaran pun harganya sudah meningkat berkali ganda. 

1973 dibaca
Berita Harian X