Isnin, 8 Januari 2018 | 6:08pm
AHLI Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS), Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri. - Foto Saifullizan Tamadi.

Tubuh institut latihan guru tahfiz

BANGI: Institut Latihan Guru Tahfiz perlu ditubuhkan untuk menyelaraskan kokurikulum dan kaedah pengajaran standard di sekolah tahfiz.

Ahli Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS), Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri, berkata isu yang dihadapi pada masa kini ialah tiada piawaian terhadap kualiti guru yang mengajar di sekolah tahfiz.

Sehubungan itu, katanya, guru sekolah tahfiz perlu diberi latihan secukupnya berbanding mengajar secara 'asal boleh' berdasarkan pengalaman mereka saja.

"Masing-masing ada kekuatan sendiri, tetapi tidak ada piawaian atau amalan terbaik. Tidak sama ajar kanak-kanak enam tahun dengan budak sekolah, jadi perlu ada piawaian yang standard.

"Penekanan terhadap pusat latihan itu sangat signifikan," katanya pada Wacana Cendekiawan Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertajuk 'Status Sekolah Tahfiz dalam Pendidikan Negara: Di Mana dan Ke Mana Akhirnya' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Prof Datuk Dr Zakaria Stapa; Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azizi Umar dan Bendahari Permata al-Quran, Datuk Adnan Hashim.

Abdul Halim berkata, guru tahfiz juga perlu mahir dalam bidang lain yang digabungkan dengan bidang Islam, selain ilmu asas pengajaran murid.

Antaranya, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pedagogi, iaitu kajian mengenai kaedah dan prinsip pengajaran pendidikan formal.

Beliau berkata, keperluan penubuhan institusi latihan itu akan dilakukan secara berperingkat dengan membawa cadangan kepada LEPAI.

Katanya, langkah pertama adalah menghasilkan model yang akan diperkenalkan kepada sekolah tahfiz arus perdana diikuti sekolah tahfiz yang mendaftar dengan negeri.

"Kita kena ada model dulu, bila sudah berjaya baru orang nampak. Diharap dengan adanya model itu semua pihak akan ikut. Memang sukar tetapi kita perlu cari jalan," katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, beliau akan membawa cadangan penubuhan pusat latihan guru tahfiz pada mesyuarat LEPAI yang dijangka diadakan pada Mac depan.

Katanya, masyarakat tidak boleh menganggap guru terlatih dalam pendidikan Islam boleh jadi guru tahfiz yang baik untuk mengajar kerana cara pengajaran tahfiz memerlukan pengkhususan.

"Persidangan Meja Bulat Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) ketika membincang isu sekolah tahfiz di Malaysia mengakui kurikulum tidak sepadu dan tenaga pengajar tidak terlatih.

"Justeru, pelan strategi DPTN antara lain untuk memantapkan kurikulum pendidikan tahfiz sesuai dengan pendidikan arus perdana dan memperkasakan tadbir urus institusi tahfiz," katanya.

1079 dibaca
Berita Harian X