Isnin, 8 Januari 2018 | 6:34pm
(DARI kiri) Ahli panel, PERMATA Al-Quran, Mejar (B) Datuk Adnan Hashim; Lembaga Penyelarasan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Prof Datuk Paduka Zakaria Stapa; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS), Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri dan Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azizi Umar hadir pada Wacana Cendekiawan Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertajuk Status Sekolah Tahfiz dalam Pendidikan Negara: Di Mana dan Ke Mana Akhirnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Rapatkan jurang sekolah tahfiz arus perdana, swasta

BANGI: Tiada semangat pembudayaan persekutuan menyebabkan wujud situasi antara 'dua darjat' dan jurang tahfiz arus perdana di bawah kerajaan dengan tahfiz di luar arus perdana.

Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azizi Umar, berkata ia disebabkan sekolah tahfiz dan agama tidak termasuk dalam kategori institusi pendidikan sedangkan ia sepatutnya berada di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988.

"Dari sudut ini, macam tidak ada warga negara. Sepatutnya mereka berada di bawah pengawalan sekolah agama seperti sekolah agama Islam sekarang. Ini kerana pemikiran berasingan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Cendekiawan Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertajuk Status Sekolah Tahfiz dalam Pendidikan Negara: Di Mana dan Ke Mana Akhirnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Azizi berkata, sebanyak 669 sekolah tahfiz di luar arus perdana tidak berdaftar kerana bimbang implikasi hilang identiti dan takut campur tangan dalam pengurusan.

Katanya, pada pandangan sekolah tahfiz, apakah yang mereka dapat jika mendaftar kerana tidak ada situasi menang-menang.

"Jika ditanya, ke mana akhirnya status sekolah tahfiz dalam pendidikan negara, banyak bergantung kepada semangat pembudayaan persekutuan yang tinggi.

"Kena ada semangat bersepadu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Jika tidak, usaha untuk maju dan memperkukuhkan pendidikan tahfiz tidak ke mana," katanya.

147 dibaca
Berita Harian X