Selasa, 9 Januari 2018 | 2:20pm
PRESIDEN NUTP, Kamarozaman Abd Razak. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Cadang 23 perkara kod etika lindungi guru

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan 23 perkara untuk dimuatkan dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga, yang akan dijadikan panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak, berkata ia membabitkan 15 perkara mesti dipatuhi serta lapan tingkah laku perlu dihindari ibu bapa di semua sekolah serta institusi pendidikan lain seperti kolej vokasional, matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).

Katanya, Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang dicadangkan itu akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat untuk dibincang bersama ibu bapa.

"Antara perkara dicadangkan adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk Pengetua, Guru Besar atau pentadbir institusi jika mempunyai masalah dengan guru berkaitan anak mereka.

"Perkara kedua adalah ibu bapa serta penjaga tidak dibenar membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan, manakala sekolah berhak menghubungi polis jika arahan tidak dipatuhi.

"Ketiga, menyalah guna atau mesej bernada ancaman sama ada menerusi e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis lain, termasuk menerusi media sosial," katanya pada sidang media Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di Wisma NUTP di sini, hari ini.

NUTP sebelum ini menggesa Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga secepat mungkin untuk dijadikan panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

Ia susulan kes membabitkan seorang guru, Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, yang menarik perhatian ramai apabila didakwa di Mahkamah Majistret Serembanbagi kesalahan mencederakan seorang muridnya pada 6 April lalu, namun dia kemudian dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Pada 22 Disember lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, pihaknya sedia menerima cadangan NUTP itu dan akan berjumpa dengan kesatuan itu bulan ini.

Kamarozaman berkata, NUTP berharap Kementerian Pendidikan menetapkan segera tarikh pertemuan kedua-dua pihak untuk berbincang serta memutuskan kandungan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga itu, sekali gus mengedarkannya kepada semua ibu bapa.

"Kod etika ini adalah garis panduan. Ibu bapa boleh datang ke sekolah untuk selesaikan masalah tertentu, namun perlu ada kaedah dan tatasusila.

"Kami harap perkara berbangkit cuba diselesaikan di peringkat sekolah sebelum dilaporkan kepada polis yang sepatutnya adalah langkah terakhir," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyemak dan menerbitkan semula buku Panduan Am Disiplin Sekolah dan Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru yang kali terakhir diterbitkan masing-masing pada 1981 dan 1988.

"Buku ini adalah panduan kepada pengurusan sekolah dalam menangani isu disiplin. Ia bukan saja sudah tidak diulang cetak, malah tiada di pasaran dan Arkib Negara juga tidak memiliki buku ini.

"Kementerian perlu mengemas kini dan menerbitkan semula buku panduan itu serta mengedarkannya kepada semua 10,100 sekolah di negara ini serta ibu bapa supaya tidak timbul salah faham dan fitnah antara mereka dan guru," katanya.

867 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »