;
Khamis, 11 Januari 2018 | 5:50pm
MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kiri); Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tengah) dan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom (tiga kanan) bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran Pendaftaran Pengurus Harta mengikut pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 (Akta 242), hari ini. - Foto Halim Salleh

MyDeposit sasar 10,000 pemohon baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 10,000 permohonan baharu Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini 3,000 pemohon sudah memohon bantuan bayaran deposit rumah yang dibeli.

Katanya, kerajaan menerima banyak permohonan tetapi ramai tidak berjaya kerana gagal di peringkat kelulusan pinjaman perumahan dari pihak bank.

"MyDeposit menetapkan syarat utama pemohon mesti lulus pinjaman bank kerana kita bimbang geran diberi tetapi tidak digunakan untuk membeli rumah.

"Syarat lain adalah mesti permohonan rumah pertama dan bukan jenis rumah subsidi kerajaan seperti rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)," katanya selepas melancarkan Pendaftaran Pengurus Harta mengikut pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 (Akta 242), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom.

MyDeposit menawarkan geran sehingga RM30,000 bagi pembiayaan rumah bernilai RM500,000 dan ke atas atau 10 peratus daripada nilai rumah yang dibeli.

Sejak MyDeposit diperkenalkan pada tahun 2016, kerajaan sudah membelanjakan RM500 juta.

Katanya, peruntukan itu ditambah seperti diumumkan dalam Bajet 2018 dengan sasaran sejuta rakyat memiliki rumah sendiri.

Menerusi pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju meneruskan skim berkenaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan memiliki rumah pertama.

Permohonan MyDeposit mula dibuka pada 15 Disember lalu hingga 15 Februari ini yang mana borang Pendaftaran boleh diperoleh menerusi portal KPKT.

Berucap pada majlis itu, Noh berkata, sebanyak 16,394 aduan diterima oleh Pesuruhjaya Bangunan merangkumi aspek pengurusan dan penyelenggaraan sejak 2016.

"Menyedari masalah berkenaan, pindaan Akta 242 yang berkuat kuasa 2 Januari lalu diharap mampu meningkatkan standard pengurusan harta yang memberi kebaikan kepada komuniti," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh setahun ini, pindaan Akta 242 memperuntukkan tempoh pemutihan bagi pengamal pengurusan harta yang memenuhi syarat untuk terus mendaftar sebagai Pengurus Harta Berdaftar.

"Dua manfaat yang diperoleh selepas mendaftar adalah firma tidak perlu menyediakan bon RM50,000 untuk sesuatu bangunan kediaman berstrata.

"Mereka diiktiraf sebagai profesional yang menawarkan khidmat dibawah Akta 242," katanya.

762 dibaca
Berita Harian X