;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 5:39pm
Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh (empat, kanan) bersalaman dengan anggota Persatuan Pesara Kerajaan Cawangan Besut sebaik tiba pada Majlis Temu Murni di Dewan Masjid Hadhari Jertih hari ini. - Foto BERNAMA

Banyak negara berminat kejayaan pendidikan negara

JERTIH: Kerajaan menghargai minat negara Islam yang ingin berkongsi kejayaan Malaysia dalam melaksanakan sistem pendidikan negara yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kecenderungan negara terbabit yang ingin bekerjasama dengan Malaysia terbukti apabila beliau sendiri dijemput menghadiri pelbagai perjumpaan dengan pemimpin negara berkenaan.

Beliau berkata, antara jemputan yang diterima termasuklah daripada Maghribi, Senegal, Algeria dan Turki yang ingin tahu mengenai sistem pendidikan negara untuk dicontohi mereka.

Malah katanya, pada 19 Januari ini satu pertubuhan pendidikan Islam antarabangsa akan mengadakan forum di Kuala Lumpur yang akan menyentuh mengenai kejayaan negara dalam sistem pendidikan.

"Saya sendiri turut dijemput oleh badan berkenaan bagi menyampaikan syarahan berhubung kejayaan pendidikan negara," katanya selepas menghadiri Majlis Temu Murni bersama pesara daerah Besut, di Masjid Hadhari Jertih, di sini hari ini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, kejayaan dinikmati oleh lima daripada lapan universiti tempatan yang menduduki tempat terbaik di Asia membuktikan sistem pendidikan negara diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, banyak negara Islam sentiasa memandang tinggi dan menghargai sistem pendidikan yang diamalkan Malaysia dan mereka amat berminat untuk mencontohinya.

308 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »