;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:10pm
TIMBALAN Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Nilai tanah Tanjung Tokong dijangka meningkat

GEORGETOWN: Pertukaran tanah seluas 1.49 hektar di Tanjung Tokong di sini, pada nilai RM1,300 sekaki persegi dilakukan kerajaan DAP Pulau Pinang bagi menampung kos kajian terowong dasar laut dan tiga lebuh raya terus dipersoal.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong, berkata ia berikutan terlalu banyak faktor yang akan meningkatkan nilai tanah terbabit, sebaik sebarang projek siap dibina di kawasan itu.

Katanya, jumlah kepadatan pembangunan dirangka atas tanah terbabit juga akan mengakibatkan nilainya naik mendadak, melebihi RM1,300 sekaki persegi seperti ditetapkan dalam perjanjian.

"Kerajaan negeri dilapor meluluskan pertukaran kepadatan pembangunan daripada 30 kepada 156 unit bagi tanah berkeluasan 0.4 hektar, sejurus membuat pertukaran hak milik tanah terbabit kepada syarikat perunding.

"Tindakan ini sekali gus menyebabkan nilai tanah di kawasan berkenaan meningkat mendadak," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyatakan kerajaan DAP Pulau Pinang masih belum membuat sebarang pembayaran bagi setiap kajian ke atas projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, beliau dilapor berkata, hanya RM208 juta bagi beberapa kajian dijalankan bagi projek tiga lebuh raya sudah dibayar kepada syarikat perunding melalui pertukaran dua lot tanah di Tanjung Tokong, masing-masing berkeluasan 1.49 dan 0.8 hektar.

Choong berkata, penjualan dan pembinaan dua blok kondominium 39 tingkat di atas tanah terbabit sudah dijalankan pada 2015 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM800 juta.

"Pemaju terbabit juga dilapor akan mencatatkan keuntungan kasar bernilai RM200 juta, iaitu bersamaan dengan 25 peratus margin keuntungan.

"Sekiranya pertukaran tanah terbabit dibuat melebihi nilai pasaran, maka pemaju tidak mampu untuk membina projek mewah dengan margin keuntungan sedemikian," katanya.

Mengulas lanjut, Choong berkata, kerajaan negeri juga tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan sepanjang proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan ke atas projek terbabit.

271 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »