;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:20pm
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner (dua dari kanan) berbual dengan sebahagian penerima zakat SSM di Madrasah Ehsaniah Ke-3 Kampung Pulai dekat Gopeng. - Foto Razif Rosli

SSM agih zakat asnaf RM2.03 juta

GOPENG: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan wang zakat keseluruhan RM2.03 juta yang diagihkan kepada 6,400 golongan asnaf dan fakir miskin di seluruh negara tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner, berkata jumlah itu meningkat berbanding kira-kira RM1.7 juta diagihkan kepada 5,000 golongan itu pada tahun sebelumnya.

"Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat pada tahun akan datang dan SSM akan terus berusaha untuk mempertingkatkan jumlah zakat yang boleh disumbangkan kepada golongan asnaf.

"Diharapkan dengan pemberian sumbangan zakat ini ianya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan asnaf yang terdiri daripada pelbagai latar belakang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengagihkan wang zakat pada Majlis Pengagihan Zakat Korporat SSM di Madrasah Ehsaniah Ke-3 Kampung Pulai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Jawatankuasa Majlis Pengagihan Zakat Kawasan Gopeng, Datuk Musa Nordin.Zahrah berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai yang terbabit dalam perniagaan untuk berdaftar dengan SSM yang secara tidak langsung akan memberi manfaat dari aspek perolehan dan agihan wang zakat.

Mengenai program hari ini, beliau berkata, SSM memperuntukkan RM58,200 wang zakat kepada golongan asnaf di sekitar Gopeng. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM43,000 diagihkan kepada 144 golongan asnaf dan fakir miskin sekitar Gopeng dengan setiap asnaf menerima wang zakat sebanyak RM300.

"Manakala baki sejumlah RM15,000 pula diagihkan kepada asnaf fisabilillah membabitkan dua surau dan tiga madrasah dengan setiap satunya menerima wang zakat RM3,000," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu seramai 64,910 yang mendaftar perniagaan atas talian bersama SSM.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, seramai 61,813 berdaftar bagi kategori perniagaan, syarikat (2,254) dan perkongsian liabiliti terhad (843).

215 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »