;
Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:53pm
Noh menziarahi salah seorang penduduk pada Program 'Walkabout' di Kampung Tiram Jaya, Tanjong Karang.

JAIS perlu panggil Mohamed Azmin: Noh

TANJONG KARANG: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta memanggil Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberi keterangan berhubung pengedaran sebuah akhbar kerajaan negeri berbaur politik di masjid seluruh negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, akhbar milik kerajaan negeri itu secara jelas melanggar titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang masjid dijadikan gelanggang berpolitik.

"JAIS seharusnya perlu membuat pemantauan lebih tegas terhadap akhbar itu dan sekiranya berterusan, saya anggap pihak berkenaan mengabaikan titah Sultan Selangor," katanya.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, Mohamed Azmin tidak sepatutnya menyalahgunakan akhbar itu sebagai pentas politik terutamanya ketika beliau berucap di negeri lain.

"Jika benar dia (Mohamed Azmin) turun padang dalam Selangor itu betul, rakyat nak lihat tugasnya sebagai Menteri Besar.

"Sebagai parti memerintah (di sini), jangan gunakan nama sebagai timbalan presiden

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dimasukkan di dalam akhbar rasmi kerajaan Selangor," katanya.

Beliau berkata, akhbar rasmi yang dibiayai duit rakyat di negeri ini sepatutnya menceritakan pembangunan yang dilakukan Kerajaan Negeri.

"Saya melihat akhbar ini disalahgunakan menjadi akhbar politik sehingga ia tidak lagi ada kaitan dengan pembangunan di Selangor.

"Kebanyakan tajuk berkisar kempen politik pembangkang (Pakatan Harapan). Kalau nak kempen politik, tidak perlu diedarkan di masjid terutama menjelang pilihan raya," katanya.

Noh turut membandingkan akhbar Kerajaan Negeri itu dengan ketika Selangor di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berikutan ketika itu kandungan berita lebih kepada pembangunan di Selangor.

"Dulu tidak ada cerita politik sangat dan kandungannya menceritakan program Kerajaan Negeri, bukannya cerita menteri besar pergi ke Kedah, Johor dan negeri lain.

"Apa kena mengena Menteri Besar pergi ke negeri lain disiarkan di akhbar ini? Saya fikir beliau (Mohamed Azmin) tidak faham kapasiti beliau sebagai menteri besar," katanya.

Terdahulu, Noh menziarahi salah seorang penduduk pada Program 'Walkabout' di Kampung Tiram Jaya, Tanjong Karang.

10123 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »