Jumaat, 12 Januari 2018 | 8:24pm
Mesyuarat NHRAP yang berlangsung di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), semalam.

Laporan NHRAP dibentang ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Laporan muktamad Jawatankuasa Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) akan dibentang ke Kabinet dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penelitian laporan menerusi mesyuarat yang berlangsung di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), semalam itu dipengerusikan secara bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.

Azalina berkata, pembangunan NHRAP adalah komitmen kerajaan semasa proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang kedua di Geneva pada 2013 bagi memastikan pelbagai isu hak asasi manusia ditangani secara baik.

"Ia juga dokumen komprehensif bagi memastikan panduan kepada pegawai kerajaan khususnya dalam pembangunan pelbagai dasar kerajaan yang memberi impak positif terhadap masyarakat umum.

"Pelan tindakan ini melalui rangkaian sesi pembabitan secara lanjutan, merangkumi pihak berkepentingan khususnya dengan agensi peneraju yang akan melaksanakan NHRAP termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sosial korporat (CSO) dan masyarakat.

"Pelaksanaan NHRAP ialah bukti kukuh bahawa kerajaan sentiasa telus dan prihatin dengan isu hak asasi manusia di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasca kerangka NHRAP memperoleh persetujuan Kabinet, majlis pelancaran akan diadakan dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir pada mesyuarat itu adalah Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Jalil Bin Marzuki; Penasihat Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Almalena Sharmila Johan; Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara, Toh Puan Azizan Mohd Aziz dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Lok Yim Pheng.

243 dibaca
Berita Harian X