Jumaat, 12 Januari 2018 | 8:58pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan di Kuching. - Foto Jannah Kho

Saya kehilangan seorang Abang, sahabat sejati: Zahid

KUCHING: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kematian bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan satu kehilangan besar kepadanya.

Timbalan Perdana Menteri menganggap beliau bukan hanya kehilangan seorang rakan karib, bahkan seorang abang kerana sudah terlalu lama mengenali mendiang dan berjuang bersama di arena politik.

"Kami mula mengenali sejak 1987 ketika bersama menyertai Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN). Banyak pengalaman kami tempuh bersama dalam arena politik.

"Kehilangannya cukup dirasakan.... beliau bukan hanya seorang rakan sejati tetapi juga seorang abang. Malah, beliau juga sebahagian daripada keluarga saya, begitu juga sebaliknya," katanya.

Ahmad Zahid tiba di bandar raya ini kira-kira jam 8 malam ini bagi menziarahi keluarga Celestine dan ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Wilayah, Datuk Alex Nanta Linggi yang juga menantu mendiang.

Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi keluarga Celestine, selain memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang sebelum beredar ke hotel penginapannya.

Celestine, 71, yang juga bekas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggal dunia di Hospital KPJ pada jam 7.48 malam kelmarin selepas rebah di rumahnya di Tabuan Jaya, di sini kira-kira jam 6 petang.

Mendiang meninggalkan seorang isteri serta tiga anak perempuan.

Sepanjang karier politiknya sebelum bersara pada 2001, mendiang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena dan pernah memegang beberapa portfolio antaranya Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Menteri Perumahan selain pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak mulai 1981 hingga 1987.

Ahmad Zahid berkata, semangat kental dan kesetiaan Celestine dalam perjuangan politiknya seharusnya dicontohi oleh generasi pemimpin muda politik di negara ini.

14312 dibaca
Berita Harian X