Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:29pm
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Kewibawaan Abang Johari kian terserlah: Fadillah

KUCHING: Genap setahun menerajui pentadbiran negeri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berjaya mempamer kesungguhan beliau untuk terus memacu Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi berasaskan ekonomi digital.

Ketua Menteri Sarawak yang keenam itu memperkenalkan banyak inisiatif baharu dalam agenda pembangunan negeri sejak dilantik pada 13 Januari 2017.

Pada masa yang sama, beliau tidak meminggirkan dasar yang dirangka pemimpin sebelumnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, segala pendekatan Abang Johari itu diyakini mampu membawa Sarawak melangkah lebih jauh menjadi sebuah negeri yang maju dan berjaya di negara ini.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, agenda ekonomi digital yang diperjuangkan oleh Abang Johari bagi memacu kemajuan negeri mendapat sambutan baik khususnya dalam kalangan golongan muda, yang turut diperakui ramai sebagai strategi ekonomi masa depan Sarawak.

"Dalam tempoh setahun kepimpinannya beliau sudah melakukan banyak perkara demi negeri serta rakyat Sarawak dan selaku 'Kapten baharu Team Tok Nan' beliau meneruskan semua dasar dan janji yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

"Ia termasuk rundingan berhubung penurunan kuasa dengan kerajaan Persekutuan demi menuntut kembali hak Sarawak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fadillah berkata, kewibawaan Abang Johari menerajui kerajaan negeri kian terserlah apabila beliau menghantar satu rombongan ke London untuk meneliti fail dan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak negeri Sarawak ketika ditadbir oleh kerajaan British.

Justeru kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu, Pemuda BN Sarawak mengulangi ikrar akan terus memberi sokongan padu dan membantu Abang Johari dalam menjadikan Sarawak sebagai tempat yang lebih baik untuk semua.

Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari tahun lalu.

Beliau yang sebelum itu Timbalan Ketua Menteri, dilantik bagi menggantikan Allahyarham Adenan yang meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak akibat komplikasi jantung pada 11 Januari 2017.

321 dibaca
Berita Harian X