Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:00am
PROJEK Lebuhraya Pan Borneo, jalan pesisir dan jambatan antara pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
PROJEK Lebuhraya Pan Borneo, jalan pesisir dan jambatan antara pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
PENUBUHAN Petroleum Sarawak Berhad merealisasi dan menjana ekonomi negeri.

Abang Jo demi kegemilangan Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang genap setahun menggalas tanggungjawab itu hari ini, berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pemodenan negeri, sekali gus memperkasa sosioekonomi rakyat.

Sejurus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-6 pada 13 Januari tahun lalu, pelbagai transformasi dilaksanakan Abang Johari, termasuk meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Hampir segenap pelusuk negeri sudah dilawatinya bagi meneruskan agenda utama merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Ia membabitkan pembinaan pelbagai infrastruktur berorientasikan kepentingan rakyat termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo, jalan pesisir, laluan penghubung antara kampung, jambatan, bekalan air dan elektrik, selain sistem telekomunikasi.

Usaha itu memerlukan proses berperingkat berikutan saiz Sarawak yang lebih besar dari Semenanjung, selain cabaran geografi bergunung-ganang dan memiliki banyak sungai.

Teruskan usaha dirintis Adenan

Abang Johari juga meneruskan usaha dirintis Adenan khusus dalam mengembalikan hak dan keistimewaan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau mempunyai cara tersendiri memperlihatkan dirinya bukan 'klon' Adenan apabila memperkenalkan Dasar Ekonomi Digital, sekali gus mencetuskan fenomena baharu hingga dikagumi kepemimpinan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai pemimpin generasi baharu, Abang Johari tampil dengan cara tersendiri memacu pembangunan negeri ini ke arah pemodenan, sekali gus memberi impak positif kepada sosioekonomi rakyat bagi jangka panjang.

Ia seiring perubahan global terutama dengan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), sekali gus mewujudkan perubahan era digital dan dunia tanpa sempadan.

"Dari sudut ekonomi, saya ada model sendiri, sebab itu saya unjurkan ekonomi digital. Jika mahu membangun negeri dengan pendapatan tinggi, kita mesti mempunyai prasarana moden menggerakkan ekonomi moden," katanya.

Abang Johari berkata, beliau perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi dan mahu generasi baharu 'Anak Sarawak' terdedah kepada kemajuan era digital.

"Paling penting, kita naikkan taraf platform dan prasarana teknologi ini kerana kelajuan internet turut mengubah ekosistem di bandar dan luar bandar Sarawak," katanya.

Susulan itu, beliau mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Antarabangsa ICT, Prasarana dan Ekonomi Digital Sarawak 2017 (IDECS 2017) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), April tahun lalu.

Bangunkan ekosistem digital

Melalui IDECS, pendekatan membangunkan ekosistem digital bermula dengan langkah proaktif menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri melalui peruntukan RM1 bilion.

Abang Johari berkata, tempoh setahun pertama menggalas jawatan nombor satu negeri itu banyak dimanfaatkan bagi merangka dan merancang ekonomi Sarawak, malah terus agresif menyusun langkah pada tahun kedua ini.

"Kita menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang menggubal dasar bagi mewujudkan ekosistem digital lebih inklusif dan efisien bagi menampung keperluan negeri," katanya..

Menceburi politik sejak 34 tahun lalu, Abang Johari berkata, perubahan yang berlaku perlu dihadapi untuk kekal relevan dengan kehendak semasa.

Malah, beliau menggariskan tiga elemen penting generasi baharu era digital, khususnya mengubah budaya berfikir dengan input baharu.

"Generasi baharu berada pada zon penuh cabaran dan persaingan. Jadi, kita wajar melahirkan gagasan baharu dalam ekosistem serba baharu," katanya.

Abang Johari berkata, beliau menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) demi merealisasi dan menjana ekonomi, termasuk menceburi industri minyak dan gas yang dapat memberi keuntungan kepada kerajaan serta negeri ini.

"Selepas DBOS, kita tubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik 100 peratus kerajaan negeri dan agensi yang dapat membabitkan diri dalam industri minyak dan gas hiliran," katanya.

Selain PETROS, beliau mahu melaksanakan perubahan landskap sosial rakyat melalui pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), dengan menjadikan bandar raya Kuching sebagai model perintis, seterusnya diperluaskan hingga ke Bau, Serian, Samarahan dan Damai, Santubong.

Katanya, penduduk negeri mencecah 2.7 juta orang dengan sepertiga daripadanya di Kuching, menyebabkan idea mewujudkan LRT adalah logik dan rasional.

"Dengan menggerakkan ekonomi melalui sektor perkhidmatan, ia bakal melonjakkan sistem pengangkutan awam dan pembangunan perumahan di Sarawak.

"Kewujudan prasarana ini juga mampu mewujudkan kuasa beli tinggi, seterusnya menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 6 peratus di negeri ini, sekali gus mampu menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya.

737 dibaca
Berita Harian X