Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:20pm
PENGANALISIS politik Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir. - Foto fail NSTP/Surianie Mohd Hanif

'Pembangkang bakal hilang pertaruhan di pesisir Sarawak'

MUKAH: Pesisir Sarawak yang majoriti penduduknya masyarakat Melanau, diyakini terus kekal sebagai 'lubuk kemenangan' Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, pakatan pembangkang diingatkan 'tidak bermimpi di siang hari' sekiranya berhasrat meletakkan calon bagi menawan kerusi Parlimen di kawasan majoriti etnik Melanau itu.

Penganalisis politik Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir, berkata seiring amalan demokrasi dalam negara, pakatan berhak meletakkan calon mereka, namun harus bersedia berdepan risiko hilang wang pertaruhan di situ.

Katanya, pandangan itu bersandarkan rekod pencapaian cemerlang BN di kawasan terbabit selama ini, sama ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atau PRU, kerana sokongan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa berpihak kepada parti kerajaan.

"Tidak hairan jika mereka (pembangkang) hilang wang pertaruhan jika meletakkan calon di kawasan majoriti Melanau," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Selain PKR, parti pembangkang yang berkemungkinan meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Melanau dalam PRU14 ialah Parti Amanah Negara (PAN) dan PAS.

Dr Jeniri berkata, parti pembangkang tidak memiliki calon berwibawa, selain jentera pilihan raya yang lemah, berbanding BN, khususnya parti tunjangnya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

"Kawasan Melanau sejak sekian lama kekal menjadi 'kubu kuat' BN, termasuklah pada PRU14 nanti.

"Malah, sejarah pilihan raya merekodkan belum pernah kerusi Melanau jatuh ke tangan pembangkang," katanya.

Sejumlah enam peratus pengundi etnik Melanau atau kira-kira 132,000 orang itu di Sarawak pasti terus memilih untuk menyokong PBB, sekali gus memastikan kejayaan besar BN.

Ini ditambah lagi dengan corak kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kebajikan masyarakat itu.

Bagaimanapun, Dr Jeniri mendedahkan ada suara pengundi beberapa kawasan yang mahu melihat perubahan calon ditampilkan BN dalam PRU14, khusus bagi membawa lebih banyak pembaharuan, terutama dalam konteks pembangunan dan sosio-ekonomi setempat.

"BN selama ini membawa begitu banyak pembangunan di kawasan Melanau tetapi ada ruang untuk memperbaikinya," katanya.

816 dibaca
Berita Harian X