;
Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:37pm
KEADAAN banjir di Air Papan, Mersing. - Foto Mohd Sah Muda

Taburan hujan 6,000mm punca banjir di Pahang, Johor

KUALA LUMPUR: Taburan hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu, menyebabkan banjir semakin buruk melanda Pahang dan Johor, yang sehingga malam ini, menyaksikan hampir 2,500 mangsa dipindahkan ke 29 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sejak Rabu lalu hingga 7 malam ini, Pahang menerima taburan hujan sebanyak 5,867 milimeter (mm), menyebabkan banjir melanda Pekan, Raub, Rompin dan Kuantan.

Johor yang menerima 6,610 mm taburan hujan sepanjang tempoh sama, menyaksikan banjir kini merebak di kawasan Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Zainal Yusoff, berkata Kuantan menjadi daerah terbaharu di negeri itu dilanda banjir hari ini, apabila 49 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

"Ini menyebabkan jumlah mangsa banjir seluruh negeri meliputi daerah Raub, Rompin, Pekan dan Kuantan, meningkat kepada 1,564 orang membabitkan 406 keluarga yang kini ditempatkan pada 17 PPS.

"Pekan masih menjadi daerah paling ramai mangsa, membabitkan 1,223 orang daripada 312 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS," katanya.

Banjir yang buruk kali ini, menyaksikan buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun, sebahagian penduduk Kampung Cenderawasih dekat Sungai Miang, Pekan, terpaksa berpindah ke PPS.

Penduduk, Ismail Jamaluddin, 56, berkata peningkatan mendadak paras air di sekitar kampung itu memaksa beliau dan ahli keluarganya berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram sejak semalam.

Sementara itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkenan berangkat bertemu 71 mangsa daripada 23 keluarga yang berpindah ke PPS SK Seri Biram, hari ini.

Baginda diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata banjir yang masih merebak, menyebabkan seramai 1,122 mangsa daripada 306 keluarga dipindahkan ke 12 PPS negeri itu.

Beliau berkata, Jalan Telok Arong di Mersing terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas akibat runtuhan cerun menyebabkan pengguna diminta menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Tanjung Resang, Jalan Mersing/Endau dan Jalan Air Papan.

Katanya, agensi berkaitan juga diarah membuat pemantauan rapi terhadap Kampung Batu 7 Jementah di Segamat dilaporkan terputus hubungan susulan banjir yang berlaku.

1223 dibaca
Berita Harian X