Ahad, 14 Januari 2018 | 10:20am
ANGGOTA APM meninjau rumah penduduk dalam kejadian banjir di Kampung Air Papan, Mersing, Jumaat lalu. - Foto ihsan APM Johor
ANGGOTA APM bersama JKKK Pengkalan Batu memindahkan mangsa banjir di Kampung Baru Jemari ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Pengkalan Batu, Mersing, semalam. - Foto Mohd Sah Muda

Banjir di Johor kian buruk

JOHOR BAHRU: Sebuah sekolah di Kluang ditutup apabila banjir di negeri ini dilapor semakin buruk, dengan keseluruhan seramai 1,395 mangsa daripada 376 keluarga dipindahkan di tiga daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Punan ditutup selepas laluan ke sekolah terputus hubungan, menyebabkan tenaga pengajar dari sekolah itu terpaksa melaporkan diri di SK Batu 3.

Bagaimanapun, katanya, dua sekolah di Kluang iaitu SK Ladang Mutiara dan SK Seri Sedohok tetap meneruskan sesi persekolahan walaupun laluan perhubungan ke sekolah itu terputus.

"Empat guru di SK Ladang Mutiara manakala 14 tenaga pengajar melapor diri di SK Kahang, Kluang dan tiga yang lain di SK Ladang Tereh, Kluang.

"Bagi SK Seri Sedohok, Kluang, hanya 17 tenaga pengajar berada di sekolah berkenaan, manakala tiga guru melapor diri di SK Kahang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata, sehingga jam 8 pagi tadi, semua mangsa banjir dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, seramai 103 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan di empat PPS Segamat, selain 1,261 mangsa daripada 347 keluarga dipindahkan di lapan PPS Mersing, dan 31 mangsa daripada tujuh keluarga di sebuah PPS Kota Tinggi.

2717 dibaca
Berita Harian X