;
Ahad, 14 Januari 2018 | 10:38am
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan mendukung seorang kanak-kanak di kampung Permatang Cicar ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam operasi banjir. - Foto Ihsan Bomba Pahang

Mangsa banjir di Pahang menurun

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini menurun kepada 1,658 orang daripada 425 keluarga setakat jam 10 pagi, berbanding 1,665 orang daripada 426 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata Pekan masih daerah paling ramai mangsa iaitu 1,299 orang daripada 326 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS.

"PPS berkenaan adalah SK Sinar Mutiara yang menempatkan 375 mangsa daripada 94 keluarga, SK Permatang Keledang (322 mangsa, 81 keluarga), SMK Peramu Jaya (119 orang, 35 keluarga), SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang, 22 keluarga).

"Selain itu, SK Merchong Jaya membabitkan 86 mangsa daripada 15 keluarga, Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55 orang, lapan keluarga); SK Sri Biram (73 orang, 21 keluarga), Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga), SK Seri Terantang (46 orang, 9 keluarga), SK Acheh (9 orang, dua keluarga)," katanya di sini, hari ini.

Zainal berkata, jumlah di Rompin kekal 294 mangsa daripada 81 keluarga yang ditempatkan di empat PSS.

"Empat PPS berkenaan adalah di Balai Raya Setajam yang menempatkan seramai 127 orang daripada 33 keluarga, Dewan Orang Ramai Leban Chondong (67 orang, 21 keluarga), SK Tekek (63 orang, 15 keluarga) dan Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu (37 mangsa, 12 keluarga).

"Di Raub, banjir kilat yang berlaku sejak pagi semalam menyebabkan sebuah PPS dibuka iaitu Masjid Jamek Kampung Kuala Semantan yang menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga," katanya.

Berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 9 pagi, bacaan paras air di Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan melepasi tahap bahaya atau merah iaitu 10.35 meter.

Selain itu, tiga sungai turut melepasi paras amaran atau jingga iaitu Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini dengan bacaan 29.42 meter (30.00 meter paras bahaya), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran 18.12 meter (19.00 meter paras bahaya) dan Kuala Sungai Chini, Pekan 14.59 meter (14.90 paras bahaya).

425 dibaca
Berita Harian X