Ahad, 14 Januari 2018 | 11:58am
FOTO hiasan.

Banjir dijangka pulih dalam tempoh terdekat

PUTRAJAYA: Banjir yang melanda Pahang dan Johor ketika ini dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat berdasarkan perkiraan keadaan awan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, berkata berdasarkan keadaan semasa, awan tebal akan menurunkan hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa negeri.

"Dalam minggu depan, kita jangkakan hujan lebat kerana masih ada awan tebal dan kita berharap penduduk sentiasa berjaga-jaga serta patuh kepada arahan keselamatan.

"Namun keadaan yang berlaku ketika ini juga adalah ketentuan Allah SWT, dan kita sebagai manusia hanya boleh meramalkan sahaja," katanya ketika ditemui media selepas program Nature Fun Ride 2018 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Md Nasir berkata, pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Pekan, Parcel 1 di Pahang kini sudah 70 peratus siap.

"Bagi daerah Rompin, RTB masih lagi dalam perbincangan dan dijangka akan dimulakan pada tahun depan.

"Pembinaan RTB ini akan dapat mengelakkan kejadian banjir terutama di kawasan yang rendah, termasuk berhampiran dengan Sungai Pahang," katanya.

307 dibaca
Berita Harian X