Selasa, 6 Februari 2018 | 2:27pm

19,000 petugas PRU-14 di Kelantan

KOTA BHARU: Lebih 19,000 petugas membabitkan kakitangan awam dan swasta akan dilantik bagi menguruskan proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini.

Sumber berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU-14 jika ia dibuat pada bila-bila masa saja.

"Taklimat bagi semua petugas pilihan raya sudah selesai baru-baru ini. Bagaimanapun, pihak SPR akan buat taklimat ulangan pada 12 Februari ini bagi memastikan petugas SPR betul-betul mahir melaksanakan tugas mereka.

"Taklimat bagi ejen parti dan petugas parti politik sudah berlangsung sebelum ini dan juga kepada petugas media Kelantan," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, sejumlah 1,948 saluran disediakan bagi memudahkan pengundi pada hari pengundian.

Mengulas pengundi pos, sumber itu berkata, SPR Kelantan belum lagi menerima jumlah sebenar pengundi dari semua agensi dan kakitangan kerajaan terbabit.

387 dibaca
Berita Harian X