Rabu, 7 Februari 2018 | 7:14pm

Harga petrol naik, diesel turun

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol bagi tempoh 8 Februari hingga 14 Februari naik antara dua dan tiga sen seliter, manakala diesel pula turun tiga sen seliter.

Harga runcit RON95 naik kepada RM2.33 seliter manakala RON97 ialah RM2.61 seliter.

Harga bagi diesel pula turun kepada RM2.31 seliter.

Kenaikan harga itu berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam ini.

Harga baharu itu diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.

Mekanisme pengumuman harga minyak secara mingguan itu mula berkuat kuasa pada 29 Mac tahun lalu.

Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.

Bagi minggu sebelum ini iaitu dari 1 hingga 7 Februari, harga runcit mingguan RON95 ialah RM2.31 seliter, RON97 (RM2.58 seliter) dan diesel (RM2.34 seliter).

2294 dibaca
Berita Harian X