Rabu, 14 Februari 2018 | 7:10pm

Azmil selamat dikebumikan

SHAH ALAM: Titisan hujan mengiringi pengebumian pelakon terkenal era 1980-an, Azmil Mustapha, di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, petang tadi.

Azmil atau nama sebenarnya Mohd Azmil Mustapha Kamil, 65, meninggal dunia kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi akibat sakit jantung di rumahnya di Kondominium Sri Permata, Seksyen 9, dekat sini.

Adik bongsunya, Muhammad Aziph, 50, berkata abangnya pernah menjalani rawatan pintasan jantung pada 2016 selain dua kali diserang sakit jantung tahun lalu.

Walaupun sakit, katanya, Allahyarham tidak pernah patah semangat untuk terus berdakwah seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Dia sentiasa ceria walaupun kesihatan tidak mencapai tahap 100 peratus.

"Dalam waktu terdekat ini pun, abang ada dijemput untuk memberi ceramah agama namun Allah lebih menyayanginya. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya.

Terdahulu, jenazah Azmil dimandi dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah pasangannya dalam filem Ali Setan, Fauziah Ahmad Daud; penyanyi veteran, Datuk DJ Dave dan penerbit, Datuk Aziz Bakar.

13948 dibaca
AHLI keluarga mengangkat jenazah pelakon era 1980-an, Allahyarham Azmil Mustapha untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
JENAZAH pelakon era 1980-an, Allahyarham Azmil Mustapha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
Berita Harian X