Rabu, 14 Februari 2018 | 11:53pm
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohd Diah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Daerah Melaka Tengah di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Melaka Tengah, Wisma Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Bengkel jadi tempat sindiket edar dadah

AYER KEROH: Bengkel kereta di kawasan sekitar Pantai Kundor, di sini, menjadi taktik baharu bagi sindiket dadah menjalankan pengedaran bekalan bahan terlarang itu.

Ia susulan pendedahan oleh seorang pemimpin masyarakat di situ yang meminta supaya pihak berkuasa berkaitan menyasarkan bengkel kereta yang dikenal pasti menjadi modus operandi baharu kegiatan itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata sebaik menerima laporan itu beliau meminta agensi penguatkuasa menjalankan pemantauan secara besar-besaran di semua bengkel di negeri ini serta-merta menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Saya dapati, mereka (pengedar) menggunakan kaedah baharu (bengkel) ini sebagai tempat pertemuan untuk berbincang (edar dadah) dan ia berdasarkan laporan yang kita terima.

"Justeru, saya mohon semua agensi, termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis menumpukan perhatian di semua bengkel di daerah ini,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Minit Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Melaka Tengah, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata,pihaknya turut mengenal pasti beberapa bengkel yang beroperasi secara haram itu.

"Kita akan kumpul maklumat dan menjadikan ia sasaran (bengkel) baharu, selain meneruskan operasi berkala yang lain seperti biasa,"katanya.

258 dibaca
Berita Harian X