;
Sabtu, 17 Februari 2018 | 4:34pm

RM1.3b laksana 5 projek infrastruktur Langkawi - PM

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membuktikan komitmen untuk terus membawa pembangunan ke Langkawi dengan mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion bagi lima projek infrastruktur merangkumi projek tadahan air, menaik taraf Hospital Langkawi, pembinaan balai bomba, kuarters dan jalan raya.

Ketika mengumumkan peruntukan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 ( RMK-11), Najib berkata, kerajaan Persekutuan sudah meluluskan projek menaik taraf Hospital Langkawi (HL) untuk membina bangunan tambahan dengan kos RM500 juta.

Katanya, HL buat masa ini hanya dapat menampung 110 katil pesakit dan dengan pembinaan bangunan tambahan itu, kapasiti keseluruhan hospital berkenaan akan meningkat kepada 220 katil.

"Kerajaan juga meluluskan pembinaan kuarters dan integrasi untuk kakitangan Jabatan Kesihatan di Langkawi dengan kos RM135 juta bertepatan dengan objektif untuk menempatkan semua kakitangan kesihatan di sini.

"Projek ketiga pula, kerajaan meluluskan pembinaan balai bomba Padang Matsirat lengkap dengan kemudahan kuarters dengan kos RM30 juta," katanya dalam ucapan ketika melancarkan I Am Usahawan G0 4.0 Langkawi 2018 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Presiden DPMM Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.

Najib turut mengumumkan, kerajaan juga akan menaik taraf jalan persekutuan Bulatan Lapangan Terbang-PULAPOL dengan kos RM50 juta.

"Bagi menampung keperluan air bersih untuk Pulau Langkawi sehingga tahun 2040, Unit Perancang Ekonomi sudah meluluskan peruntukan RM600 juta untuk membina kemudahan tadahan air di Padang Mat Sirat yang dijangka siap 2022.

"Projek ini dapat memastikan bekalan air tambahan sebanyak 124.48 juta liter sehari disediakan mencukupi untuk rakyat di sini," katanya.

Dalam pada itu, Najib memuji langkah DPMM menganjurkan program usahawan ekonomi digital kerana ia adalah sejajar dengan revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang mengubah cara hidup masa kini.

Beliau berkata, menurut satu kajian dilakukan oleh sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati 65 peratus pekerjaan hari ini akan pupus dalam masa beberapa tahun akan datang.

"Kebanyakan pekerjaan baru masih belum wujud lagi hari ini, di mana anak-anak yang berada di bangku sekolah ini yang akan mengisi pekerjaan itu nanti.

"Perubahan yang disifatkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) akan mengubah cara kita hidup, cara kita bekerja dan cara kita beriadah.... pendek kata segenap aspek kehidupan kita akan berubah dengan begitu dahsyat dan pantas," katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata dalam perbualan beliau dengan Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan, Jack Ma memberitahu sudah ada satu sistem di China diberi nama 310.

"310 ini satu sistem memproses permohonan pinjaman mikro kredit di mana pemprosesan dilakukan secara dalam talian...bila kita buat permohonan mikro kredit, sistem ini hanya perlukan tiga minit untuk memproses setiap permohonan.

"Manakala hanya 1 minit diambil untuk pindahkan dana ke akaun kita dan 0 iaitu tidak ada interface (pertemuan bersemuka) dengan manusia," katanya.

Najib berkata, rakyat perlu menempuh ledakan revolusi ini dengan tidak mengasingkan diri sebaliknya mesti menjadi pelaku utama untuk mendapatkan faedah dari ekonomi digital.

681 dibaca
NAJIB bersalaman bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Perasmian Karnival Go I Am Usahawan 4.0 Langkawi di tapak parkir Kompleks LADA, Langkawi. - Foto Azhar Ramli
Berita Harian X