Selasa, 27 Februari 2018 | 6:38pm
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto Eizairi Shamsudin

Pensyarah merekrut pelajar

BANGI: Polis menahan 12 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan ekstremis Daesh, sehingga Disember lalu.

Selain itu, empat lagi pelajar IPT, termasuk seorang wanita pelajar jurusan perubatan dikesan masih berada di Syria bagi membantu kumpulan pengganas Daesh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata daripada 12 yang ditahan itu, tiga pelajar dari tiga universiti awam, manakala bakinya dari IPTS.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan aktiviti beberapa pensyarah IPT yang cuba mempromosikan ideologi Salafi Jihadi yang menjadi pegangan kumpulan pengganas Daesh, dalam kalangan pelajar mereka.

Katanya pensyarah berkenaan turut mempertikaikan ketetapan Majlis Fatwa berhubung ideologi Salafi Jihadi yang dikeluarkan pada 2014.

Beliau berkata, sekumpulan pelajar juga mempengaruhi orang ramai di luar kampus supaya bersimpati dengan fahaman mereka yang menyeleweng itu.

"Statistik sejak 2013 menunjukkan pembabitan mahasiswa dalam kegiatan ekstremis ini sentiasa meningkat. Ini membuktikan ideologi berkenaan masih bergerak aktif di IPT di negara ini dan ancamannya masih ada.

"Mungkin tahun ini kita mengharapkan bilangan berkenaan akan menurun memandangkan ramai penggerak utama Daesh sudah meninggal dunia," katanya pada Program Liqa' Wacana Intelektual Muslim di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Wacana bertajuk 'Pendekatan Islam Bagi Membendung Ekstremisme dalam Kalangan Mahasiswa' turut disertai dua lagi panel, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah UKM, Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh.

Timbalan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Khairi Mahyuddin bertindak sebagai pengacara dalam program anjuran Persatuan Alumni Fakulti Islam, UKM itu.

Ayob Khan berkata, polis sentiasa memantau IPT di negara ini untuk mengelak pihak tertentu menjadikan universiti sebagai tempat merekrut kumpulan ekstremis dan penyebaran ideologi salah berkenaan.

Katanya, pemantauan turut dilakukan terhadap pensyarah luar negara yang mengajar di IPT tempatan untuk memastikan kehadiran mereka tidak menyebarkan fahaman yang bertentangan dan boleh mencetuskan keganasan.

"Jika kita tidak menangani isu penyebaran ideologi berkenaan, saya yakin akan ada lagi pensyarah terus merekrut mahasiswa menyertai kumpulan ekstremis," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu melaporkan kepada pihak polis jika mengetahui atau mengesyaki pembabitan pelajar dalam kegiatan keganasan.

Pada 2001 hingga 2002, seramai enam pensyarah ditahan kerana pembabitan mereka dalam Jemaah Islamiah selain 15 pelajar IPT yang diambil tindakan atas kesalahan yang sama.

1754 dibaca
Berita Harian X