Rabu, 14 March 2018 | 5:38pm
DATUK Sabin Samitah. - Foto Saddam Yusoff

Tiada ketetapan khusus cukai iklan digital - LHDN

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan tidak mengeluarkan sebarang ketetapan khusus berhubung layanan cukai ke atas pengiklanan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata sebagaimana isu percukaian yang lain, isu bayaran pengiklanan digital akan ditentukan berdasarkan fakta sesuatu kes dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Setiap kes jika berkenaan, akan dinilai berdasarkan fakta kes tersendiri dalam menentukan sama ada sesuatu transaksi itu adalah bayaran royalti atau bayaran perkhidmatan dan sama ada tertakluk kepada cukai pegangan atau lain-lain kategori pendapatan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penilaian kes meliputi kajian ke atas terma penjanjian, bentuk transaksi sebenar yang dijalankan dan elemen lain yang tidak akan diperoleh secara semakan umum.

"Mana-mana pembayar cukai yang mempunyai pertanyaan khusus berhubung isu pengiklanan digital ini dinasihatkan merujuk terus kepada Jabatan Dasar Percukaian, LHDN," katanya.

Kelmarin, ketika sesi Luncheon Talk antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua-Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dibangkitkan cadangan supaya cukai dikenakan terhadap syarikat teknologi gergasi dan media seperti Google dan Facebook (FB) di mana kedua-dua syarikat itu dikatakan mengawal hampir 70 peratus daripada perbelanjaan iklan digital di Malaysia.

Ahmad Zahid ketika memberi maklum balas berhubung cadangan itu memaklumkan beliau akan membawa perkara berkenaan kepada mesyuarat Kabinet hari ini.

297 dibaca
Berita Harian X