Rabu, 14 March 2018 | 8:13pm
Pengarah Global Bersih, Bala Chelliah (kanan), Konsulat Kebangsaan Swiss, Carlo Sommaruga (tengah) dan Pengarah Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme, Cynthia Gabriel menghadiri sidang akhbar di Bangunan Parlimen Swiss (Bundeshaus) di Bern, Switzerland. - Foto REUTERS

Usul di Switzerland: 1MDB tidak hilang wang

Kuala Lumpur: Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) menegaskan ia tidak kehilangan wang berjumlah CHF104 juta (kira-kira RM430 juta) yang kini dipegang oleh Perbendaharaan Persekutuan Switzerland.

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan hari ini berkata justeru, wang RM430 juta itu hanya layak dituntut oleh pihak yang berkaitan dan tidak boleh dituntut oleh 1MDB atau Kerajaan Malaysia kerana kedua-duanya tidak disenaraikan dalam usul berkaitan yang dibuat di Majlis Kebangsaan Switzerland.

Katanya, Majlis Kebangsaan Switzerland berhak membahaskan sebarang usul yang dibentangkan dan membuat keputusan yang difikirkan sesuai oleh anggotanya.

1MDB berkata, usul itu dinyatakan secara umum dan membabitkan pelbagai syarikat dan negara dan bukan khusus mengenai 1MDB atau Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada surat yang dihantar oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada ahli-ahli Perhimpunan Persekutuan Switzerland, berkaitan satu usul yang akan dibahaskan di Majlis Kebangsaan (Dewan Rakyat) Perhimpunan Persekutuan.

Pada 16 Jun 2017, Ahli Parlimen Switzerland, Carlo Sommaruga, mengemukakan usul 17.3547 bertajuk 'Penghantaran Balik Dana Rasuah kepada Rakyat Yang Dirompak'.

Dalam usul berkenaan dinyatakan secara umum dan menyebut banyak nama syarikat serta negara.

"Ia bukan satu usul tertentu ditujukan kepada 1MDB atau Malaysia. Pada 30 Ogos 2017, Majlis Persekutuan Switzerland (sama dengan Kabinet), mengeluarkan analisis terperinci mengenai usul itu dan Kabinet Switzerland dicadangkan untuk menolak usul itu," katanya.

Katanya, antara lain, berkaitan sejumlah CHF104 juta (kira-kira RM430 juta) kini dipegang oleh Perbendaharaan Persekutuan Switzerland.

"Ini sebenarnya mewakili jumlah yang diperintahkan sebagai penyerahan kembali keuntungan oleh Pihak Berkuasa Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA), terhadap bank tertentu, kerana dakwaan melanggar undang-undang Switzerland.

"Oleh itu, CHF104 juta itu adalah hasil denda oleh FINMA terhadap bank-bank tertentu," katanya.

1MDB berkata, menurut Menteri Kewangan Switzerland, Ueli Maurer, bank yang berkaitan telah membantah tindakan FINMA dan merayu tindakan berkenaan di Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.

3060 dibaca
Berita Harian X