Sabtu, 7 April 2018 | 9:03pm
SEBAHAGIAN perwakilan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan menyanyikan lagu Barisan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Aizuddin Saad

Wanita terus diperkasa

KUALA LUMPUR: Golongan ibu dan wanita di negara ini akan terus diperkasakan menerusi 25 inisiatif menarik yang bakal dilaksanakan Barisan Nasional (BN), seperti dinyatakan dalam manifestonya jika terus memimpin negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menerusi teras Ibu dan Wanita dalam Manifesto BN, antara inisiatif utama membabitkan agenda pemerkasaan ekonomi golongan itu ialah penubuhan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri.

Fokus utama MEW adalah memastikan hala tuju dan pembangunan agenda ekonomi wanita diberi perhatian khusus.

BN juga akan mewujudkan koperasi wanita bagi menyediakan kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan, selain melicinkan proses pemerolehan pinjaman golongan wanita tunggal dengan memberi kebenaran menggabungkan pendapatan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.

Selain itu, pusat transformasi usahawan wanita menggunakan model Pasarnita akan ditubuhkan bagi membolehkan jaringan perniagaan diperluaskan.

Penubuhan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan bagi membincang dan menyelaraskan isu berkaitan hal ehwal perundangan serta kehakiman syariah di negara ini, dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memantapkan aspek perundangan.

Justeru, Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ditubuhkan bermula di Wilayah Persekutuan untuk mempercepat pendengaran dan penyelesaian kes, manakala mangsa gangguan jenayah seksual bakal dilindungi apabila Akta Gangguan Seksual digubal.

Dalam pentadbiran, peranan dan sumbangan wanita terus dihargai menerusi jaminan BN untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan di Dewan Negara melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

BN turut berikrar untuk memperluaskan pembabitan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua sektor.

BN turut memperkenalkan insentif cukai kepada 24 bulan bagi wanita yang kembali ke pasaran pekerja, selain memberikan insentif kepada syarikat yang menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dan fasiliti untuk ibu menyusukan bayi.

Peruntukan cuti khas tujuh hari setahun akan diberi kepada wanita yang menjaga anak atau saudara terdekat yang sakit.

Semua inisiatif berkenaan disediakan kerana golongan berkenaan adalah aset penting negara dan pembangunan, kesejahteraan serta kebahagiaan wanita akan terus menjadi agenda utama BN.

Antara insentif lain ialah:

* Memudahkan syarat pinjaman mikro kredit untuk usahawan wanita bagi menggalakkan menjana pendapatan kedua

* Menyemarakkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) wanita dan ibu tunggal menerusi jaringan kerjasama dengan universiti, politeknik dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

* Menambah pendapatan ibu tunggal B40 melalui latihan tertentu menerusi Kursus Asuhan PERMATA

* Menggilap potensi ibu tunggal menerusi program peningkatan kemahiran, latihan semula dan peluang pekerjaan khas

* Menggalakkan sektor swasta membenarkan wanita mengandung pulang sejam lebih awal.

* Menggalakkan syarikat mengamalkan dasar keseimbangan kehidupan dan pekerjaan dengan memberi insentif kepada syarikat berkenaan.

279 dibaca
Berita Harian X