Selasa, 17 April 2018 | 4:08pm
NOH merasmikan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 di Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang. - Foto Roslin Mat Tahir

MARA terpinggir jika pembangkang memerintah

TANJONG KARANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mungkin menerima nasib sama seperti Yayasan Selangor (YS) jika pakatan pembangkang mentadbir negara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata sebagaimana kerajaan Selangor sekarang 'melemahkan' fungsi YS yang selama ini memberi peluang pendidikan kepada murid keluarga berpendapatan rendah, adalah tidak mustahil peranan MARA akan turut dihapuskan.

"Kita perlu mengambil iktibar dengan sikap pemimpin pakatan pembangkang di Selangor, terutama DAP yang disifatkan anti dengan institusi yang membela orang Melayu.

"Kenapa YS makin terpinggir di Selangor? Ia disebabkan suara DAP yang berkuasa sebagai penentu segala keputusan.

"Kerajaan Selangor ini hanya atas kertas saja... Menteri Besarnya adalah pemimpin PKR serta orang Melayu, tetapi arahannya dari DAP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Bumiputera Peringkat Tanjong Karang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Pada tahun 2012, kerajaan Selangor mahu merobohkan Asrama YS di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. dipercayai bagi membangunkan bangunan komersial.

Bagaimanapun, rancangan itu dibantah pelbagai pihak termasuk Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor (PAYS).

Asrama YS Kuala Lumpur dibina pada tahun 1979 bertujuan memberi kemudahan kepada pelajar dari luar bandar di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Kebanyakan mereka belajar di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist.

YS turut didakwa mengalami kerugian kira-kira RM19 juta selepas kerajaan negeri menutup bangunan milik yayasan itu yang terletak di lokasi strategik di ibu negara sejak tahun 2012.

Sementara itu, Noh berkata, dasar kontrak sosial yang dilaksanakan BN sejak negara merdeka terbukti berjaya mewujudkan keadilan kepada semua kaum.

"DAP sebaliknya mengamalkan dasar kesamarataan yang tidak sesuai diamalkan di negara ini. Orang Melayu dan India agak ketinggalan dari segi status sosial berbanding orang Cina," katanya.

298 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »