Selasa, 17 April 2018 | 4:18pm
ZAINI (dua dari kiri) berbual dengan penerima bayaran sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso 2018 selepas majlis penyampaian cek di Pejabat Perkeso Negeri. - Foto Fathil Asri

SIP ringankan beban bekas pekerja kilang

KOTA BHARU: Perasaan sedih dan terkilan seorang pekerja kilang yang diberhentikan selepas 17 tahun berkhidmat, sedikit terubat apabila terpilih menerima bantuan daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO.

Zaimah Yusof, 48, berkata selepas diberhentikan daripada sebuah kilang elektronik di Bangi, Selangor pada 31 Mac lalu, dia pulang ke kampung di sini kerana gagal mendapat pekerjaan lain.

"Selepas diberhentikan, saya buntu memikirkan masa depan dan di mana mahu mencari wang untuk menyara ibu dan bapa yang sudah uzur.

"Saya pernah berkahwin, tetapi berpisah beberapa tahun lalu dan tidak mempunyai anak, jadi hanya menyara ibu dan bapa.

"Mujurlah saya memperoleh bantuan interim SIP PERKESO yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian cek bayaran SIP PERKESO, di sini, hari ini.

Zaimah adalah antara 57 penerima bantuan interim SIP PERKESO yang masing-masing mendapat manfaat bantuan kewangan RM600 bagi meringankan beban kehidupan selepas diberhentikan kerja.

Pengarah PERKESO Kelantan, Zaini Llatif, berkata hingga 16 April, pihaknya menerima 243 permohonan SIP.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 138 permohonan sudah dibayar manakala 76 kes masih dalam tindakan.

"Kos yang sudah dibayar sebanyak RM82,800 dan kita terpaksa menolak 29 permohonan kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Selain menerima bantuan kewangan, penerima juga akan menyertai Program Penempatan Semula Pekerjaan bagi mencari pekerjaan sesuai yang dikendalikan secara bersama dengan JobsMalaysia dan agensi pekerjaan swasta JobStreet," katanya.

283 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »