Selasa, 17 April 2018 | 4:52pm
PENGERUSI Kumpulan Media Prima Berhad, Tan Sri Ismee Ismail (sebelas dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (sembilan dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Johan Ishak (sembilan dari kiri) Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah (sepuluh kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (lapan dari kiri) bergambar bersama krew dan pengacara rangkaian televisyen First to Deliver Pilihan Raya ke 14 Media Prima Berhad di Royale Chulan Damansara. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

MPB sedia program khas PRU-14

PETALING JAYA: Media Prima Berhad (MPB) bakal menyiarkan beberapa siri rancangan khas menerusi kempen 'First to Deliver' menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menerusi saluran MPB iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9, program khas secara langsung itu akan menganalisis dan mengupas pelbagai isu sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian.

Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, berkata kempen First to Deliver adalah ikhtiar MPB dalam dalam menyampaikan perkembangan terkini dan keputusan terpantas sepanjang tempoh PRU-14.

"Kempen ini menjadikan semua platform kami di rangkaian televisyen Media Prima Berhad sebagai medium perantara.

"Ini membolehkan kami menjadi sumber utama rakyat Malaysia mendapat maklumat mengenai proses dan prosedur undian dijalankan tanpa perlu menukar sebarang saluran lain," katanya pada pelancaran Kempen First to Deliver, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB, Tan Sri Ismee Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN), Johan Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Bermula 28 April iaitu pada hari penamaan calon hingga menjelang hari pengundian, saluran TV3 akan membawakan laporan pantas dan sahih menerusi program bual bicara 'Penamaan Calon', 'Mandat' dan 'Terkini Khas'.

Program 'Dakwat di Jari' yang akan disiarkan di saluran TV9 selama 15 episod pula adalah platfrom bagi wanita menzahirkan pendapat dan buah fikiran mengenai demokrasi serta harapan mereka.

Sementara itu, saluran ntv7 juga mempunyai dua program yang akan bersiaran dalam tempoh kempen pilihan raya iaitu 'View Point' dan 'News in Brief'.

Buat penonton Cina, saluran 8TV akan menyiarkan rancangan '14th General Election Polling Results' secara langsung dalam bahasa Mandarin bagi membawakan berita terkini selama dua minit.

MPB turut membawakan program khas buat golongan muda, khusus bagi mereka yang kali pertama mengundi menerusi program 'Zoom In PRU-14' di portal NX Digital.

317 dibaca
Berita Harian X