Selasa, 17 April 2018 | 5:05pm
LEE Lam Thye beramah bersama murid selepas menyampaikan sumbangan kerusi dan meja kepada SJKC Foon Yew 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Foon Yew 4. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pelajar perlu elak vandalisme

JOHOR BAHRU: Pelajar diingatkan supaya menjauhi vandalisme dan tidak merosakkan kemudahan seperti meja dan kerusi di sekolah.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pelajar perlu sedar bahawa kemudahan seperti meja dan kerusi adalah penting dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Beliau berkata, kemudahan itu mampu bertahan lama dan digunakan oleh pelajar lain jika ia dijaga dengan baik.

"Kami menerima maklumat bahawa kejadian vandalisme, termasuk merosakkan meja dan kerusi agak tinggi.

"Perkara itu tidak seharusnya berlaku. Pelajar perlu dididik bagi menghargai kemudahan yang disediakan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kerusi dan Meja di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 4, di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, sejak empat tahun lalu, Yayasan Eco World membelanjakan RM460,000 bagi membeli kerusi dan meja untuk kelas dan kantin sekolah, serta kelengkapan lain.

Setiap tahun juga, katanya, Yayasan Eco World membelanjakan RM5juta bagi 3,000 murid dan pelajar kurang berkemampuan dari 135 sekolah pelbagai aliran di seluruh negara.

"Bantuan disalurkan berbentuk penajaan yuran sekolah, kelas komputer dan sebagainya. Kami juga menaja kumpulan pelajar berkenaan hingga melanjutkan pengajian di universiti. Daripada 55 penuntut universiti yang dibantu, 18 daripadanya sudah bergelar graduan," katanya

Sementara itu, beliau berkata, Yayasan Eco World menyumbangkan 120 set kerusi meja bernilai RM15,000 kepada pengurusan sekolah SJKC Foon Yew 4, hari ini.

"Diharap sumbangan ini menjadi suntikan kepada sekolah untuk maju ke hadapan dan memberi semangat kepada pelajar untuk belajar lebih bersungguh-sungguh," katanya.

331 dibaca
Berita Harian X