Selasa, 17 April 2018 | 5:07pm
AHMAD Zahid ketika melawat tapak pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pameran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA

TPM lawat DSA Ke-16

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melawat pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 dan Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di sini.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri disambut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, meluangkan masa hampir dua jam melawat ruang pameran peralatan ketenteraan dan beramah mesra dengan pempamer.

Beliau turut merasmikan kenderaan rasmi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan melancarkan Sistem Semakan Lesen Agensi Persendirian dan Tapisan Keselamatan Pengawal Keselamatan.

Ahmad Zahid turut mencuba Sistem Pengesahan Offline E-Visa dan E-Entry Jabatan Imigresen serta peralatan ketenteraan dan senjata yang dipamerkan.

DSA Ke-16 dan NATSEC Asia 2018 berlangsung empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula Isnin lalu hingga Khamis ini.

Sebanyak 1,500 pempamer dari 60 negara berhimpun di bawah satu bumbung bagi mempamerkan kekuatan dan teknologi ketenteraan terkini dunia.

523 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »