Selasa, 17 April 2018 | 5:34pm
AZWANDDIN Hamzah pada Program Bicara BH - MCMC yang bertajuk Internet dan Pilihanraya di Balai Berita NSTP. - Foto Rosela Ismail

Ahli politik perlu kuasai media sosial

KUALA LUMPUR: Ahli politik masa kini tidak boleh lagi berharap kepada kempen turun padang semata-mata untuk menarik sokongan pengundi, sebaliknya mesti mahir menguasai media sosial khususnya untuk menangkis berita palsu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, berkata ini kerana cabaran kempen pilihan raya di era ini jauh berbeza, memandangkan pengundi kini majoritinya anak muda yang begitu dekat dengan media sosial dan internet.

"Dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini, kita tidak boleh hanya bergantung kepada 'offline' (program turun padang), tetapi pembabitan 'online' (atas talian) mesti berjalan selari kerana ini permintaan zaman sekarang.

"Mutakhir ini situasinya berbeza sama sekali. Politik persepsi tanpa ada 'offline' bersama 'online' tidak akan ke mana. Oleh itu, kita perlu kuasai kedua-duanya," katanya selaku ahli panel Program Bicara BH : Internet dan Pilihan Raya, di sini.

Dua lagi ahli panel ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr Mazlan Ismail.

Azwanddin berkata, perkembangan jalur lebar negara yang membolehkan internet diakses lebih mudah, secara langsung menarik lebih ramai individu untuk terbabit dalam membicarakan isu politik.

"Kalau kita lihat sejak akhir ini, suasana berpolitik lebih meriah. Dulu hanya 'offline' (turun padang) saja bertemu rakyat dan baca di media cetak, tetapi sekarang ia menambah kemeriahan disebabkan pembabitannya lebih besar.

"Bawah umur 21 tahun pun sudah komen di media sosial, ini yang saya nampak begitu dinamik. Pemimpin politik mesti lihat ini satu cabaran yang besar," katanya.

Azwanddin juga bersetuju penyebaran berita tidak benar dan propaganda dimainkan di media sosial ketika ini, turut dipengaruhi rancangan pihak asing di luar negara yang mempunyai matlamat tertentu, sekali gus berisiko menggugat kestabilan negara.

"Ini bukan cerita dongeng, bukan dicipta dan direka tetapi sudah dinyatakan oleh rakan media tertentu. Contohnya seperti ada media yang dapat dana asing dari institusi antarabangsa.

"JMM pun pernah dedahkan mengenai satu kumpulan yang ditaja khusus, yang duduk dalam Facebook dan dibayar secara bulanan untuk membuat provokasi (di media sosial). Semua perkara ini bukan dirancang untuk kepentingan mereka dan anak muda perlu ambil perkara ini serius.

"Sehubungan itu, pendidikan sivik perlu diperluas matlamatnya terutama dalam mendidik generasi muda supaya lebih bertanggungjawab di samping menyedari ancaman serta kesan negatif mempercayai dan menyebar berita palsu," katanya.

288 dibaca
Berita Harian X