Selasa, 17 April 2018 | 6:02pm
SALLEH ketika sidang media selepas majlis pelancaran & Live Demo iFiber Rangkaian Internet Terbuka Malaysia di MAGIC, Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Galak syarikat tempatan tawar internet kelajuan tinggi

CYBERJAYA: Kerajaan menggalakkan lebih banyak persaingan syarikat tempatan dalam penyediaan internet berkelajuan tinggi di negara ini bagi membolehkan penawaran kemudahan itu pada harga lebih murah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata dalam pasaran terbuka, persaingan adalah asas untuk menyediakan perkhidmatan pada harga mampu milik, sekali gus memenuhi hasrat rakyat yang inginkan pakej internet lebih murah dan berkelajuan tinggi.

"Rangkaian internet terbuka iFiber adalah satu inisiatif pasaran terbuka yang membawa daya saing yang sihat. Ini diharapkan boleh membawa kepada penurunan harga dan menghasilkan pelan langganan internet yang memenuhi kehendak rakyat.

"Kerajaan sentiasa menggalakkan mana-mana pihak terutama penyedia internet untuk menawarkan perkhidmatan mereka kerana usaha untuk membuka pasaran yang membolehkan persaingan sihat berlaku amat dialu-alukan," katanya selepas Majlis Perasmian dan Live Demo iFiber Gigacity Cyberjaya - Rangkaian Gigabit Fiber Internet Terbuka Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin perkhidmatan iFiber itu mampu memberi manfaat kepada pengguna, sekali gus menyokong usaha kerajaan menerusi Pelan Fiber Negara.

"Dasar kerajaan adalah memastikan capaian internet mencapai 95 peratus di seluruh negara menjelang 2020. Untuk ke arah ini, kita akan bekerjasama dengan banyak pihak termasuk kerajaan negeri, untuk menentukan ia dapat dilaksana secepatnya.

"Umpamanya di Sabah, kita sudah mulakan pemasangan fiber dari Kudat ke Tuaran, malah tumpuan juga harus diberikan kepada kawasan luar bandar bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan internet yang baik sama seperti di bandar," katanya.

iFiber mengendalikan rangkaian fiber internet terbuka bersama-sama dengan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) di portal iFiber, www.ifiber.my.

Dengan adanya platform iFiber ini, pengguna akan melanggan terus daripada penyedia perkhidmatan pada bila-bila masa secara atas talian dan dapat menukar pakej mengikut keperluan menerusi portal disediakan.

Bagi tahun ini, iFiber merancang pemasangan fiber yang akan melalui lebih 100,000 premis di Lembah Klang dan seterusnya diperluas ke 10 bandar utama seluruh negara.

193 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »