Selasa, 17 April 2018 | 6:25pm
Moderator Bicara BH, Basir Zahrom (dari kiri), Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Dr Mazlan Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah pada Program Bicara BH - MCMC yang bertajuk Internet dan Pilihanraya di Balai Berita NSTP. - Foto Rosela Ismail

Kempen konvensional masih relevan

KUALA LUMPUR: Pendekatan tradisional dan konvensional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih relevan untuk membantu kempen politik, terutama dalam usaha membentuk persepsi dan meraih sentimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana pengalaman PRU lalu membuktikan masih ada dalam kalangan masyarakat di negara ini yang tidak bergantung sepenuhnya kepada internet sebagai sumber.

Mengambil contoh gerak kerja Barisan Nasional (BN), beliau berkata soal gerak kerja pilihan raya yang banyak dilakukan di peringkat akar umbi atau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) memberi persepsi positif mengenai keberadaan calon bersama dengan pengundi.

"Tidak boleh lari daripada pandangan masyarakat bahawa wakil rakyat harus bersama rakyat dan masyarakat. Sekiranya hanya datang lima tahun sekali, tentu sekali akan kecundang.

"Sebab itu, tidak mencukupi sekiranya mengharapkan sentimen di internet semata-mata," katanya ketika menjadi panel Bicara BH: Internet dan Pilihan Raya di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, hari ini.

Dua lagi ahli panel ialah Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr Mazlan Ismail dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah.

Mengenai kempen di media sosial, Asyraf Wajdi berkata ia lebih berkisar soal membentuk persepsi dan meraih sentimen serta memainkan emosi masyarakat untuk membantu calon dan parti meraih sokongan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ada risiko perlu dihadapi ahli politik yang bergantung kepada persepsi dan sentimen kerana ia bergantung kepada tahap keyakinan dan kepercayaan masyarakat.

"Sekali keyakinan dan kepercayaan itu dinodai, persepsi itu akan berubah walaupun berjaya menguasai pada peringkat awal," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, aplikasi media sosial tertutup seperti WhatsApp dan Telegram lebih berkuasa berbanding aplikasi media sosial terbuka seperti Facebook dalam mempengaruhi dan mencorak minda seseorang.

"Apabila sesuatu mesej itu disebar, ia cepat untuk mempengaruhi dan sampai ke pelbagai peringkat berbanding Facebook yang mempunyai capaian yang agak terhad iaitu kepada rakan dan pengikut saja.

"Berbeza pendekatan menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram, ia dilihat lebih berkesan. Cukup dengan tajuk yang menarik, ia mampu menarik pembaca walaupun isinya berkecamuk dan tidak mencapai maksud yang sebenar.

"Justeru, saya ingatkan pengguna untuk lebih bertanggungjawab dan menguruskan media sosial dengan cara yang berhemat bagi mengelak muflis di akhirat dan mendapat dosa," katanya.

112 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »