Selasa, 17 April 2018 | 6:27pm
AHMAD Zahid berucap pada Majlis Penutup Forum Putrajaya 2018 di Pusat Persidangan Antarabangsa MATRADE (MECC). - Foto Saddam Yusoff

Lambakan berita palsu pada PRU-14 jika tidak dibendung

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan menyaksikan peningkatan kegiatan perkongsian berita palsu yang berisiko memberikan ancaman kepada negara dan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia kini berdepan dengan terlalu banyak berita palsu yang dikongsi seluruh negara sehingga menjejaskan perkembangan rakyat.

Justeru, katanya kerajaan bertekad untuk menghalang bahaya yang berisiko disebabkan berita palsu bagi memastikan rakyat tidak terus terpedaya, tanpa menafikan kebebasan rakyat menggunakan internet dan sosial media.

"PRU-14 hanya berbaki tiga minggu lagi, tempoh ini adalah tempoh yang sebilangan orang memanggilnya sebagai musim gila.

"Tempoh inilah kita akan saksikan banyak berita dan berita palsu dimuatkan secara digital, dikongsi dalam rangkaian dan diautomasikan pengolahannya.

"Hari ini kita hidup di era teknologi siber, atau era yang mana alam siber kini tidak lagi selamat, bahkan ancaman siber kini berada di senarai paling atas bagi kebanyakan negara," katanya dalam ucapan penutup Forum Putrajaya 2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas ancaman keselamatan jenayah transnasional, Ahmad Zahid berkata, kerajaan kini mengambil pendekatan mewujudkan kerjasama sektor swasta bagi mendepani cabaran keselamatan yang semakin rumit.

Katanya, adalah mustahil untuk berhadapan dengan ancaman seperti itu tanpa membabitkan gabungan dan kerjasama aset pemegang kepentingan yang berkaitan termasuk agensi sekuriti lain bagi mewujudkan mekanisma baharu yang sesuai digunakan.

"Sebagai contoh, Malaysia berjaya bekerjasama dengan PETRONAS bagi mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di perairan Sabah dengan menggunakan gabungan sumber kerajaan bersama gergasi minyak terbabit.

"Berlandaskan kepada pengalaman ini, kerjasama kerajaan-swasta mungkin jawapan bagi ASEAN untuk menguruskan kestabilan dan keselamatan rantau ini merangkumi semua sektor," katanya.

196 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »