Sabtu, 9 Jun 2018 | 1:21pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Kaji semula TPP - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) dikaji semula kerana pencapaian ekonomi negara kecil seperti Malaysia kurang menonjol menerusi terma dan syarat semasa yang ditetapkan menerusi rundingan berkenaan.

Beliau berkata, pakatan perdagangan yang dimeterai antara 11 negara harus mengambil kira tahap pembangunan dan perkembangan ekonomi setiap negara.

"Negara yang kecil dan lemah harus diberi peluang melindungi produk mereka.

"Justeru, TPP wajar dikaji semula supaya perjanjian ini dapat dimanfaatkan negara," katanya dalam temubual bersama Japan's Nikkei, hari ini.

Cadangan terbabit dijangka menjadi tamparan hebat buat anggota TPP lain termasuk Jepun, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Terdahulu, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dimeterai 11 negara Mac lalu bertujuan mengimbangi pendirian perlindungan oleh Amerika Syarikat (AS), yang menarik diri daripada pakatan itu tahun lalu.

Perjanjian berkenaan akan mengurangkan tarif di negara terbabit yang secara bersama menguasai lebih 13 peratus ekonomi global, yang keseluruhan berjumlah AS$10 trilion.

Jika AS terbabit, ia sepatutnya merangkumi 40 peratus ekonomi dunia.

Dr Mahathir berkata, beliau perlu meneliti keseluruhan perjanjian dan rundingan dimeterai kerajaan terdahulu merangkumi infrastruktur, perdagangan dan keselamatan.

"Kita akan mengkaji semula Kerangka Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan yang sedang dirunding antara China dan negara ASEAN bagi menangani isu di perairan berkenaan," katanya.

Nikkei melaporkan, Dr Mahathir tidak mahu kapal perang negara asing berada di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

1923 dibaca
Berita Harian X