Selasa, 14 Ogos 2018 | 10:55am
MUHYIDDIN mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Luqman Hakim Zubir
MUHYIDDIN mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Luqman Hakim Zubir

Muhyiddin angkat sumpah

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Muhyiddin tidak menyertai Ahli Parlimen lain yang mengangkat sumpah pada 16 Julai lalu berikutan bercuti sakit selama sebulan.

Beliau yang dikesan menghidap ketumbuhan pankreas, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan dibenarkan keluar Selasa minggu lalu.


MUHYIDDIN tiba di Bangunan Parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14. - Foto Luqman Hakim Zubir

Terdahulu Muhyiddin yang tiba di Dewan Rakyat jam 9.45 pagi kelihatan ceria dan cergas ketika menaiki tangga menuju ke lobi sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu sempat menyapa dan melemparkan senyuman kepada jurugambar yang merakam gambarnya sebelum memasuki dewan.

Ketika ini, hanya Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, belum mengangkat sumpah.

3992 dibaca
Berita Harian X