Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:52pm

Sultan Nazrin dilantik Penaung Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dilantik sebagai Penaung Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara.

Pusat yang baru dibangunkan dan akan menjadi sebahagian daripada Institut Global Oxford dan Pengajian Rantau itu dijangka mewujudkan peluang penyelidikan serta pengajaran merangkumi beberapa jabatan.

Ia termasuk Geografi dan Alam Sekitar; Antropologi dan Etnografi Muzium; Politik dan Hubungan Antarabangsa; Pengajian Pembangunan serta Sejarah.

Sultan Nazrin, ketika berkenan menerima pelantikan dan mengulas perkembangan terbaru itu, bertitah Oxford bakal memberikan sumbangan berimpak tinggi terhadap akademi global menerusi penekanan terhadap penyelidikan serta kecemerlangan aspek pendidikan Pengajian Asia Tenggara.


(DARI kiri ke kanan); Ketua Bahagian Sains Sosial, Prof. Sarah Whatmore, Sultan Nazrin Shah, Naib Canselor Oxford, Prof. Louise Richardson dan Fellow dalam Pengajian Islam, Dato 'Dr Afifi al-Akiti di University of Oxford. - Foto NSTP

“Hanya segelintir universiti di seluruh dunia mampu menyaingi Oxford dalam menawarkan kepelbagaian dan tahap kepakaran akademiknya. Pelaburan ilmu yang dicambah menerusi gabungan lakaran impian dan penuh bermatlamat ini bakal meletakkan Asia Tenggara di nadi dunia.

“Langkah ini sekali gus memanfaatkan penduduk negara anggota ASEAN dan rakyat di seluruh dunia,” titah baginda menerusi perutusan kepada media.

Sultan Nazrin yang turut dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya ialah pakar ekonomi politik dan tersohor sebagai cendekiawan dengan minat mendalam terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia dan wilayah sekelilingnya.

Baginda antara lain berkenan menabur bakti sebagai Pengerusi Bersama Panel Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembiayaan Kemanusiaan, selain menjadi Duta Khas Malaysia untuk Dialog Antara Ketamadunan dan Kepelbagaian Kepercayaan di Kesatuan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC).

Pasca istiadat pemasyhuran pada tanggal 6 Mei 2015, Sultan Nazrin turut diangkat sebagai Penaung Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia; Ahli Canselor Majlis Dermawan Universiti Oxford; Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Pusat Oxford untuk Pengajian Islam.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga adalah penulis ‘Charting the Economy’ dan menerbitkan pelbagai hasil kajian akademik mengenai sejarah dan ekonomi Malaysia.

Oxford pada minggu lalu dilaporkan berada pada kedudukan pertama dalam Senarai Pendidikan Tinggi Times Universiti Dunia untuk tiga tahun berturut-turut, selain dinobat sebagai peneraju kepakaran bidang sains sosial dan sains perubatan.

491 dibaca
KUALA LUMPUR 11 OCTOBER 2018 : Sultan Nazrin Shah at University of Oxford. NSTP / EMAIL
Berita Harian X