Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:00pm
MOHAMED Azmin (kanan) dan Moderator, Tan Sri Johan Jaafar dalam program Bicara Minda - Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Shah Alam. - NSTP /Faiz Anuar

Pegawai kerajaan ikut arahan ahli politik boleh didakwa

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peruntukan undang-undang yang membolehkan pegawai kerajaan yang mengikut arahan orang politik, didakwa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah ini akan membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan orang politik dan tidak mematuhi proses dan prosedur sedia ada.

Katanya, ini sebagai jaminan pegawai kerajaan dan pengurusan sesuatu institusi kerajaan itu boleh bertindak secara profesional dan bertanggungjawab.

“Pegawai kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang. Mereka tidak boleh mendapat arahan daripada orang politik. Jika berlaku sesuatu, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan?

“Itu sebabnya daripada awal pegawai kerajaan mesti meneliti permohonan itu mengikut merit dan proses serta peraturan yang sedia ada. Kalau dia bersekongkol, dia kena bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga sudah membuang slogan “Saya yang menurut perintah” dan digantikan dengan “Saya yang menjalankan amanah” melalui persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

1319 dibaca
Berita Harian X