Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:29pm
MOHAMAD Sabu (tengah) hadir bagi merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia Zon Kelantan hari ini. Turut hadir Yang Dipertua PVATM Kelantan, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani (dua, kanan). - Foto BERNAMA

ATM siap sedia hadapi banjir

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengarahkan semua negeri bersiap sedia bagi menghadapi banjir, memandangkan cuaca tidak menentu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua markas tentera berikutan bimbang banjir berlaku secara tiba-tiba.

“Kita bimbang sekiranya banjir berlaku secara tiba-tiba dan persiapan awal adalah penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kita buat persiapan setakat yang mampu.

“Sekarang ini pun pasukan kita terbabit dalam membantu mangsa gempa bumi di Sulawesi, Indonesia dan kita menghantar beberapa pesawat untuk mengangkut barang makanan dan perubatan dari Jakarta ke Palu.

“Sudah seminggu kita berkhidmat di sana dan pihak kerajaan Indonesia memaklumkan bantuan setakat ini mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Peringkat Kelantan di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya berhubung teguran Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng terhadap ucapannya ketika hadir di kem tentera di Port Dickson, yang membayangkan veteran tentera akan untung jika Ahli Parlimen Port Dickson menjadi Perdana Menteri, Mohamad akur teguran itu.

“BERSIH boleh mengkritik dan kita dengar kritikan itu. Namun bagi saya ucapan itu adalah biasa,” katanya.

535 dibaca
Berita Harian X