Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:12pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali - Foto FAIZ ANUAR

Boleh anjur Oktoberfest kalau tak ganggu ketenteraman awam - Azmin

SHAH ALAM: Penganjuran Oktoberfest dilihat tidak memberi masalah selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ketika pihaknya memberi kelulusan dahulu, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan beberapa syarat kepada penganjur.

Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor, berkata, dibawa pentadbirannya dahulu Oktoberfest pernah dianjurkan dan beliau tidak nampak sebarang permasalahan terhadap penganjuran acara itu.

“Penganjur diberi syarat oleh PBT. Pertamanya dari segi keselamatan. Kawasan yang dibuat mesti tertutup, yang boleh menjamin keselamatan penduduk kawasan sekitar.

“Kedua, pegawai penguatkuasa juga ditempatkan di situ bagi memastikan tiada orang Islam yang terbabit dalam penganjuran dan penyertaan Oktoberfest ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton berkenaan Oktoberfest dalam Program Bicara Minda Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut meminta agar orang ramai tidak terjebak dan terheret dengan polemik seperti itu.

“Saya ada pengalaman bagaimana kita menguruskan Oktoberfest ketika saya di Selangor.

“Ada kelompok kecil mempertikaikan kenapa kerajaan negeri beri kelulusan untuk menganjurkan Oktoberfest. Gambaran yang diberikan seolah-olah ini adalah pesta arak. Tidak benar sama sekali.

“Oktoberfast adalah annual celebration (acara tahunan) yang disambut oleh kumpulan bukan Islam. Kita tak benarkan orang Islam untuk menyertai Oktoberfest,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini apa yang berlaku acara itu bukan sahaja dianjurkan di Selangor, malah di Johor dan beberapa negeri lain dan semuanya teratur serta aman.

“Ini dasar kerajaan yang mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh meghalang amalan budaya kaum dan agama yang lain selagi ia dibuat dalam keadaan terkawal dan menjamin keselamatan,” katanya.

726 dibaca
Berita Harian X